Itu mendorong jenama-jenama kopi antarabangsa mengembangkan perniagaan mereka ke negara ini, yang mana setiap premis lengkap dengan kemudahan yang menepati cita rasa anak muda.
Bagaimana pula dengan jenama tempatan? Sedangkan minum kopi sudah boleh dianggap sebagai sebahagian daripada budaya masyarakat negara ini.
Kalau kita lepak di mana-mana sahaja warung yang terdapat di negara ini, laungan ‘kopi O satu’ adalah perkara biasa.
Kopi O antara minuman wajib yang amat sinonim dengan warga pencen negara ini terutama di kampung-kampung.
Namun, apabila zaman berubah, cara kopi dihidangkan turut berubah.
Peranan kopi kini telah melangkaui sempadan lapisan masyarakat atau kelas sosial, bukan sahaja menjadi minuman kegemaran masyarakat kota malah sebagai pelengkap kepada gaya hidup.
Malah, kewujudan cafe hipster yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan turut menghidangkan kopi sebagai pilihan wajib pengunjung.
Kini, menikmati kopi menjadi budaya dalam kalangan anak muda yang mementingkan gaya.
Minat terhadap kopi di Malaysia dapat dilihat sejak dahulu lagi, malah berpotensi untuk dikembangkan sebagai suatu perniagaan berpendapatan lumayan.
Lebih awal melihat potensi pasaran tersebut, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah mengilhamkan jenama KopieSatu, keluaran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sebagai satu jenama tempatan untuk bersaing dengan kopi-kopi terkenal dunia.
KopieSatu, yang diadun daripada campuran tiga jenis biji kopi yang diimport dari Indonesia, pertama kali muncul pada 2002 bersama enam menu kopi.
Sepanjang 13 tahun berada di pasaran, KopieSatu telah berkembang dan mencapai tahap bersaing di dalam pasaran dengan memperkenalkan perniagaan berbentuk francais kepada usahawan.
Kini terdapat lebih dari 10 outlet KopieSatu di seluruh negara dengan menawarkan 25 pilihan kopi sama ada kisar, panas dan sejuk.
KopieSatu jua telah mula beroperasi di Singapura pada tahun 2014. Pihak FAMA telah menetapkan sasaran untuk mempunyai lebih dari 120 buah outlet KopieSatu dalam tempoh tiga tahun.
Menurut Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin, sudah tiba masa bagi agensi terbabit mengintai peluang untuk membawa jenama francais tempatan, KopieSatu menembusi pasaran China, Vietnam dan Indonesia menjelang tahun depan.
Katanya, langkah tersebut akan dilaksanakan oleh anak syarikatnya, FAMA Corporation Sdn. Bhd. (Famaco) kerana percaya hubungan perniagaan yang telah lama terjalin antara ketiga-tiga negara tersebut dengan Malaysia dan jumlah penduduk di China.
Beliau juga yakin francais KopieSatu akan dikenali seperti jenama antarabangsa lain selepas menyaksikan keuntungan bersih bagi tahun kewangan berakhir tahun lalu sebanyak RM2.8 juta.
“Berikutan pencapaian memberangsangkan itu FAMA menyasarkan keuntungan bagi tahun ini sebanyak RM3.9 juta dengan melaksanakan pelbagai usaha termasuk menambah bilangan usahawan baharu daripada 12 kepada 30 orang di seluruh negara.
“Kita juga berhasrat menambah menu makanan Malaysia seperti rojak buah-buahan tempatan untuk pilihan pelanggan selepas melihat prestasi memberangsangkan di Agro Bazar, Singapura yang dibuka tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar majlis taklimat peluang perniagaan francais KopieSatu di Bangunan FAMA Point, Selayang baru-baru inii yang disampaikan Penasihat Francais KopieSatu, Sahar Saad.
Yang turut hadir, Pengarah Urusan Famaco, Pauzi Yaman; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Sharifah Hashim; Pengarah Bahagian Pembangunan Francais Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Zainal Azman Abu Seman dan Ketua Bahagian Farncais kementerian berkenaan, Ismainur Hadi Amat Baheron. – Reka bentuk Mastika mohamed
Sumber: Utusan Online