Industri Francais Malaysia Terus Kukuh – Hasan Malek

Industri Francais Malaysia Terus Kukuh – Hasan Malek

INDUSTRI francais negara terus kukuh dengan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2014 meningkat kepada RM25.9 bilion daripada RM24.6 bilion pada 2013.   Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, kedudukan negara dari segi rantau juga lebih baik berbanding negara jiran.

Dato’ Sri Haji Hasan Malek

Dato’ Sri Haji Hasan Malek

“Jika dibandingkan dengan jumlah francaisor yang beroperasi, Malaysia berada pada kedudukan yang selesa tetapi masih boleh diperbaiki,” katanya kepada pemberita selepas program ramah mesra bersama pemimpin koperasi dan pegawai Suruhanjaya Koperasi Malaysi (SKM) Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Katanya bagi memperkasa industri francais negara, kerajaan melaksanakan Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional yang kini dalam fasa kedua.

Fasa pertama dari 2012 hingga 2014 membabitkan pengukuhan, fasa kedua (2015-2016) mewujudkan francais domestik yang dinamik dan fasa ketiga (2017-2020) menjadi pusat francais Asia Tenggara, katanya.

Hasan berkata, pada masa ini terdapat 523 jenama francais di negara ini dengan 68 peratus adalah  perniagaan yang berdaftar dengan kementerian manakala baki merupakan jenama asing.

Katanya, jenama francais Malaysia juga semakin mendapat tempat di luar negara dengan 60 jenama menembusi pasaran 55 negara. – Bernama