Siti Khadijah tawar francais

Siti Khadijah tawar francais

SITI Khadijah Apparel Sdn Bhd (Siti Khadijah) pemilik telekung berjenama Siti Khadijah akan terlibat perniagaan francais dan menyasarkan 50 cawangan dalam masa dua tahun seluruh negara.

Pengasasnya, Padzilah Enda Sulaiman berkata, perniagaan francais bermula awal 2017 dan francais tersebut termasuklah kios, lot kedai dan lot dalam pusat membeli-belah.

Menurutnya, Siti Khadijah mahu bergerak dengan lebih cepat untuk memperkenalkan jenama dan melahirkan usahawan.

“Bidang perniagaan francais adalah salah satu bidang perniagaan berkembang maju di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Perniagaan ini sudah lama diperkenalkan, malah usahawan yang lahir daripada bidang ini rata-ratanya memperoleh pendapatan lumayan.

“Setakat ini, kami mempunyai 13 cawangan dalam tempoh tujuh tahun terlibat dalam perniagaan telekung. Kami mahu lahirkan ramai usahawan untuk bersama-sama kami dan mengukuhkan perniagaan,” katanya pada Majlis Pembukaan Butik Siti Khadijah yang ke 12 di KLIA2.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Insken, Norizan Syarif dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial MAHB, Mohammad Nazli Abdul Aziz.

Dalam majlis itu, Siti Khadijah mewakafkan 60 pasang telekung kepada surau KLIA2.

Mengulas mengenai pembukaan cawangannya ke-12 di KLIA2, Padzilah Enda berkata, butik tersebut dibuka pada Oktober lalu dan sambutan amat memberangsangkan.

“Teraju menawarkan kami untuk berada di KLIA2 dan akan dipantau selama enam bulan. Ia peluang terbaik kerana lapangan terbang ini ada aliran penumpang tinggi untuk pelancong domestik dan antarabangsa,” katanya.

Padzilah Enda berkata, terdapat koleksi baharu iaitu Telekung Sutera Canting yang direka menggunakan material jacquard silk dan satin motif bunga raya.

“Setakat ini , Telekung Sutera Canting hanya ada di butik Siti Khadijah di KLIA2 dan Pusat Membeli-belah Alamanda dan dijangka akan berada di semua butik pada Januari nanti.

Sementara itu, Mohammad Nazli berkata, MAHB berbangga dengan Siti Khadijah yang merupakan hasil tangan rakyat tempatan yang memperkasakan budaya tempatan.

Sumber:

http://www.sinarharian.com.my/